Wednesday, May 20, 2009

Demam Selesma - Bukan H1N1 ?

Sudah satu minggu aku demam selesma dan batuk2 ditambah pula dengan 'rashes' disebabkan alegy kepada ubat - menurut Pegawai Perubatan yang aku 'consult', akibat aku memandai-mandai beli ubat difarmasi taNPA arahan 'doktor bertauliah'.
Wah, tidak selesa langsung. Badan sekejap rasa sejuk, sekejap panas. Sudahlah aku ni susah mau makan ubat. Ish janganlah sangka yang bukan2 - aku bukan kena H1N1 ke apa tu? Selesma Babi? - eeeeh jauh malikat 44, bukanlah.
Teringat pula aku dulu-dulu masa aku kecil, aku sama adekku si-L kena demam apa tu cacar ke? yang ada bintik-bintik merah tu bah. Dulu-dulu manalah ada ubat. Kami kenalah ubat cara tradisinal. Kami kena tangas (di asap dalam selimut kain sarong) dengan daun kayu - entah apa nama kayu tu pun aku nda tau. Lepas tu kena kasi minum air kelapa muda.
Yang paling lucu, kami kena kasi mandi lagi dengan air kelapa muda. Apa lagi kami bila disiram dengan air kelapa muda tu kami pun mengambil kesempatan meneguk air yang jatuh dari atas kepala. Maniiiiiis. Yang paloi tu nda pula rasa geli minum air kelapa yang jatuh dari atas kepala kami tu...... he he he paloi.

Friday, May 1, 2009

BURUNG KERUAK

PAGI pagi lagi kami - aku sama si L merayau-rayau di bawah pokok mangga di hujung kawasan kebun. Dibawah semak kami jumpa sarang burung keruak. Wah, ada anaknya yang besar serupa anak ayam. Apa lagi kami, terus mengambil anak burung keruak dan kami bawa pulang kerumah. Mama di kebun merumput, adek tidur - apa lagi kami main puas-puas. Anak burung keruak kami letak di atas meja lalu menghalaunya ... soh soh .... maka berlarilah anak burung tadi kehujung meja sebelah. Si L pula menunggunya disebelah dan sekali lagi menghalaunya .....soh soh .....maka berlari lagi anak burung menuju ketempatku, begitulah kami lakukan berulang kali. Konon-konon anak burung keruak itu ialah kereta mainan.

Kami pernah melihat kereta mainan kepunyaan orang lain semasa di Jesselton. Kami ni konon-kononlah juga main kereta mainan - malangnya kereta mainan tu ialah anak burung keruak. Tanpa sengaja, kami telah membuat anak burung tadi mati keletihan. Baru kami tersedar, anak burung tadi bukan kereta mainan yang boleh disurung kesana kemari tanpa henti. Sedih dan menyesal aku ......tapi apa boleh buat sudah terlanjur.

Thursday, April 16, 2009

Mengaraah

Waktu tu kami baru empat urang adik beradik. Rumah kami dikabun dekat sungai bersebelahan dengan kuburan. Kami tiga urang limpang-limpang ditangah-tangah rumah, sakit. Adik ku yang numbur ampat tu dalam buaian.

Rumah kami ni indada bilek. Dibahagian depan ada ruang seakan-akan 'pelantaran' - basar jugalah. Disinilah urang duduk kalau datang kerumah kami. Disini juga ada satu kisaran padi yang terbuat daripada kayu. Lain-lain peralatan bertani juga ada disimpan disini seperti 'radu'.

Aku ingat ada juga 'dispensary' tapi tiada doktor. Ubat pun kurang. Menurut cerita bapaku peranah 'deressa' (dresser) yang menjaga rumah sakit Tandik itu kehabisan ubat batuk. Bila ada urang minta ubat batuk dia kasi kupi yang ditaruh didalam botol ubat batuk. he he he. Mungkin juga kerana percaya, baik pula tu urang yang minum ubat batuk kupi.

Kami tiga adik beradik tu, inda pula dibawa ke rumah sakit. Mungkin juga susah mau bawa sebab inda ada kenderaan. Cuma ada basikal saja. Lagi pun dirumah sakit tu bukan juga ada ubat.

Si mama pula kalau kami sakit apa lagi dia panggil lah si ado' (nenek), dia suruh ' mengaraah'. Bah, inda juga buli disalahkan si mama kan? sudah kebiasaannya, manja bah si mama tu, sikit-sikit panggil si ado bila kami sakit.

Tapi pandai juga si mama, dia suruh dulu bapa sembelih tu ayam, sambut tu darah dalam mangkuk. Barulah si ado guna tu darah bikin mengeraah. Apa lagi kaki kami habis dipalit sama darah ayam. Nasib baik inda tumbuh kutil, he he he. Indapalah itu, yang penting kami dapat makan sup ayam. Ayam kampung lagi tu, sedaaap.

Mula-mula si bapa kasi biar saja si mama. Lama-lama pelan-pelan dia inda sudah suruh si mama panggil si ado 'mengeraah'. Nantilah aku cerita pasal kami kena cacar pula.

Tuesday, March 31, 2009

BELIAJUNG ESTATE PT.2

Ini cerita pasal aku pigi Beliajung - laaaamaaa dulu waktu aku masih sekolah rendah di Tandek.
Aku pun nda ingat siapa-siap yang pigi tapi ramai jugalah - satu rombongan. Yang pasti mama sama bapa ada - bapa Ketua rombongan. Pagi-pagi sampai di Beliajung ada sukan. Sukan rakyat - lumba lari 100 ela, 200 ela, lari dalam karung, lari bawa telur dalam senduk, lari sambil cucuk benang pada jarum dan macam-macam sukan padang. Tapi paling paling paling aku ingat - he he he aku ikut sukan pancing botol. Apa? kamu nda pernah dengar - sukan pancing botol?

Benang diikat pada penghujung ranting kayu. Kemudian dihujung benang diikat pula dengan paku sebagai ganti mata kail. Sambil memegang ranting yang diikat benang tu kira 70 ela dari botol-botol leminit yang disusun bejijir kami sebaris berlari menuju botol-botol tadi lalu cuba memasukkan mata kail (paku) kedalam botol.

Waktu kami cuba memancing botol tu penonton-penonton pun memberi sorakan menyokong peserta kegemaran masing-masing. Adalah satu orang ni dia mau sangat pesertanya menang. Dia pun bilang boleh gulung benang tu di jaoran (ranting kayu) - mungkin dia ni pegawai sukan berkenaan. Ini menyenangkan memasukkan paku tadi kedalam mulut botol yang kecil tu sebab bila benang tu pendek, tidaklah paku tadi bergerak kuat sangat.

Apa lagi 'undang-undang' permainan sudah diubah - boleh gulung benang dijaoran asal tidak menyentuh mata kail dengan tangan, maka aku pun pusing-pusing kayu 'jaoran' aku sehingga paku mata kail ku terlekat dikayu jaoran. Lalu dengan senang aku memasukkannya kedalam mulut botol dan perlahan-perlahan memusingkan kayu jaoran arah bertentangan sehingga benang terjuntai. Aku tarik dan tergantunglah botol tadi dipenghujung tali benang. Aku pun berlari menuju ke garis penamat. Akulah orang pertama sampai digaris penamat. Malangnya aku 'disqualified' tetapi aku bilang nda patut sebab tadi di padang diaorang bilang boleh gulung tali pancing dikayu jaoran, asalkan tidak disentuh dengan tangan. Aku mana ada sentuh mata kail dengan tangan.

Acara tidak terhenti disitu. Malamnya ada pula pertunjukan pentas. Nyanyian dan tarian dipersembahkan oleh wakil dari rombongan kami dan dibalas oleh wakil 'tuan rumah' Beliajung.
Ramailah orang dalam Dewan malam tu menonton persembahan dari kami dan juga dari Beliajung. Yang melekat diingatanku sehingga kini ialah nyanyian oleh seorang gadis remaja yang cantik bagai artis Hindustan - Cik Jamnah. Dia menyanyikan lagu bertajuk "Hitam Manis" - ".......... Hitaaaam maaaanis, hitam manis, yang hitam manis, pandang tak jeeeemu, paaandang tak jemu, yang hitam manis.........". Bersorakan penonton dididalam Dewan terutama sang teruna-teruna, teruja dengan persembahan si-cantek manis yang berkulit 'hitam manis'. Beliajung oh Beliajung hanya tinggal dalam kenangan.

Monday, March 16, 2009

LANGKON ESTATE

Gambar bapa berkot warna gelap dan seluar juga berwarna gelap bersama seorang teman waktu menjalani latihan di Australia pada tahun 1966/67

Pada Hari Ahad yang lalu (16 Mac 2009) aku berkesempatan berjumpa salah seorang bekas murid bapa di satu Majlis Kenduri Kahwin kaum kerabat suamiku di Papar. Namanya Mento bin Hassan berasal daripada Langkon. Menurut ceritanya dia mula-mula bersekolah di Bandau dan setelah tamat Darjah VI dia menjadi guru. Pada tahun 1973 dia dihantar pula ke SK Tandek sebagai guru penolong dan alangkah terkejut dan gembiranya dia kerana mendapati pada waktu itu Guru Besar SK Tandek ialah bekas gurunya di Bandau dahulu iaitu bapaku (Allahyarham Hj. Abd. Jalil). Katanya dia sungguh berterima kasih kepada guru-gurunya dan selalu mendoakan mereka setiap kali lepas Sembahyang, kerana katanya tanpa mereka dia tidak mungkin jadi seperti sekarang.

Katanya lagi, dulu (SEBELUM MERDEKA atau Zaman Beritis kata orang kampung) mereka ini tinggal di Tambun, dan ibubapanya kemudian menetap di Langkon dan bekerja di Langkon Estate, sebagai penoreh getah. Tetapi yang menarik perhatianku ialah apabila dia menyatakan bahawa dulu pekerja ladang yang bekerja membersihkan kawasan sekeliling pokok getah diberi upah 45 sen bagi setiap satu pokok getah yang dibersihkan, kemudian diturunkan kepada 40 sen bagi satu pokok.

Sekarang ladang getah ini sudah tiada dan digantikan pula dengan tanaman kelapa sawit. Orang kampung yang dulunya bekerja di ladang getah, bekerja pula di ladang sawit. Tetapi yang menyedihkan, ialah menurut Saudara Mento, pekerja yang membersihkan kawasan sekeliling pokok sawit diberi upah 5 sen bagi setiap satu pokok sawit yang dibersihkan. Cuba bayangkan untuk mendapatkan RM5.00 sehari sesaorang itu terpaksa membersihkan 100 pokok sawit. Dengan kos barang yang mahal berapa sangatlah RM5.00 itu. Walaubagaimanapun keadaan mereka ini seakan-akan tersepit dan tiada pilihan.

Aku bertanya lagi sama ada pekerja ladang getah dahulu itu diberikan tanah tempat mereka bercucuk tanam. Menurutnya mereka diberikan satu kawasan ditepi sungai sebagai tempat mereka berkampung. Aku lupa sudah nama kampung yang dia sebut tu sebab aku ni nda biasa bah pigi kampung di Langkon tu, cuma limpas saja bila mau pulang kampungku di Tandek. Oleh kerana dia ni juga seorang penulis/wartawan pada suatu ketika dahulu, akupun menyuruhnya menulis mengenai penempatan di Langkon ini. Beliau ini pun sudah bersara. Beginilah nasib orang-orang kita.


Tuesday, February 17, 2009

BELIAJUNG ESTATE

Hari minggu yang lalu (15 Feb 2009) aku singgah di Rumah si Babu di Ongkilan. Ngam-ngam disana ada dua orang sedang mengubahsuai rumah si Babu. Kami pun berbual-bual – dalam berbual-bual tu sempat pula aku betanya sama si tukang pembuat rumah kalau dia tahu dimana Beliajung – Dia bilang sana bah itu di Taritipan. Aku Tanya lagi apa macam sudah keadaan Beliajung, masih lagi ada kah kedai disana ? Dia bilang adalah kedai kampong.
Teruslah dia becerita, duuluuu konon adalah satu orang ini mau pigi Tandek membeli beras. Sebab petang sudah indalah bah disuruh oleh anak-anaknya, tapi dia pigi juga Tandek. Sampai di Tandek dia pun membeli beras dua gantang, disimpan dalam karung tepung. Dulu-dulu Beliajung ini adalah Estet Getah. Setelah selesai membeli beras orang tadi pun bejalanlah dicelah-celah pokok getah mau pulang kerumahnya di Beliajung. Rupa-rupanya dia tu kena intai sudah oleh pengait.
Beras dua gantang tu dia taruh di atas kepalanya sambil bejalan. Pengait tu konon datang dari belakang terus dia tetak leher orang itu di sebelah kanan. Orang tadi menoleh saja ke kanan meninguk tu pengait. Di tetak lagi di kiri, orang tadi menoleh saja kono ke kiri meningu itu pengait. Ditetak lagi ditengkuk, ditenguk saja oleh orang pembawa beras tadi. Ditetak lagi konon diatas kepala, apa lagi tebelah itu karung, berhamburanlah tu beras, diapun duduk memungut beras yang berhamburan. Last last tu pengait konon lari, kebal bah konon orang tu. Apa lagi kami ni tengaga bah meninguk si tukang cerita tu. Aik bilang si Yus sama si Sly sama Si Onot, bila kami dalam kerita sudah mau pulang ke KK, macam ok ok juga bah nama orang yang kebal tu kan.....siapa konon nama orang kebal tu ?

Beliajung sekitar tahun 50an adalah sebuah Ladang Getah yang tidak begitu jauh daripada Tandek. Aku masih ingat lagi apabila tiba musim gaji yang di panggil sebagai Gajian atau Pinjaman keadaan penempatan ini sangat ramai seperti berpesta layaknya. (Pinjaman ialah apabila pekerja-pekerja ladang mendapat gaji pendahuluan dipertengahan bulan sebelum Gajian).
Sepanjang hari orang-orang yang terdiri daripada pekerja ladang dan juga orang-orang kampung disekitarnya berkumpul kerana terdapatnya banyak barang jualan keperluan harian dan juga hiburan seperti Katam-katam, dan joget atau lebih dikenali sebagai Dendang. Katam-katam ialah sejenis perjudian dimana gambar-gambar seperti ketam, udang dan lain-lain dilukis di atas kertas yang dibentangkan diatas meja ataupun tanah yang rata. Orang-orang akan membuat tikaman dengan meletakkan duit di atas gambar pilihan mereka. Dadu kemudian akan dilontarkan dan jika sekiranya gambar yang ditikam serupa pada mana-mana gambar tempat orang meletakkan duit pada gambar tersebut maka dia dikira pemenang dan berhak mendapat duit mereka yang kalah.
Dendang pula ialah sejenis tarian yang ditarikan diantara wanita dan pria sambil berbalas-balas pantun. Pada masa ini tarian ini dikenali sebagai ‘joget lambak’. Antara bait-bait pantun yang masih saya ingat berbunyi begini:

Baju kuning celana kuning
Naik basikal pusing keliling
Bagaimana adek ndak pening
Melihat abang rambut keriting


Pada zaman itu tiada lelaki yang mengkerintingkan rambut di salon-salon rambut. Perbuatan demikian akan menjadi bahan ketawa orang-orang keliling berbeza dengan keadaan sekarang dimana lelaki dan perempuan boleh berbuat apa sahaja kepada rambut masing-masing misalannya rambut yang diwarnakan berbelang-belang pun tidak lagi menjadi kejutan malahan sudah menjadi suatu ‘trend’ pula.
Aik yuu jauh malam sudah modop po - akan disambung lagi nnnnaaannntiii.

Singah di Sulap Piandaman

Hari Ahad lalu (15 Feb 2009) Aku, Yus, Sly dan Onot, pulang ke Tandek. Kami bertolak dengan kereta MyV si Yus dari KK pukul 9.30 pagi dan tiba di Kota Marudu lebih kurang pukul 12.30 t.hari. Kami singgah minum sebentar di Restauran Seri Menanti dan meneruskan perjalanan ke Tandek. Si Janah buat kenduri Arwah. Kami seterusnya berangkat dan singgah dirumah Babu Jaunah di Ongkilan. Kebetulan masa tu ada dua orang tukang sedang membaiki rumah babu. Kami pun berbual-bual kosong. Aku tanya babu kalau rumahnya dinaiki air banjir yang lalu, kerana diubahsuainya ruang bawah rumahnya dengan mendirikan dinding simen mengelilingi anjung rumah. Cerita punya cerita fasal banjir, salah seorang tukang tu pun bercerita mengenai pengalamannya suatu waktu dulu dia terkandas di Sungai Rakit. Katanya dia takut hendak menyeberangi Sungai Rakit itu kerana jembatan di sungai Rakit telah ditenggelami air. Tambahan lagi sungai itu ada buaya.
Selang beberapa ketika maka tibalah seorang yang berbasikal hendak menyeberang Sungai Rakit. Lalu mereka pun menyeberangi sungai dengan membuat basikal itu sebagai penghadang dan di letakkan disebelah sisi kanan kerana kononnya Buaya hanya menyerang ketika hendak mudik kehulu sungai dan tidak sebaliknya walahhualam.
Dari rumah babu kami singgah di Sulap Piandaman - wah aku sukaaaak betul ni sulap tau. Sempat lagi kami minum-minum kupi. Macam aku pun mau juga bikin sulap lah he he he. Bah Not cuba bah ko kasi load dulu gambar yang ko ambil tu.

Friday, February 13, 2009

BANDAU PT.II - 1962

BERJALAN KAKI KE TANDEK - mari kita sambung cerita ......

Pagi itu mak sebok di dapur menyediakan makanan untuk dibekalkan kepada kami tiga beradek. Aku ditemani oleh dua orang adek-adek lelakiku akan pergi kerumah babu Rukina di Tandek yang kira-kira 10 batu jauhnya daripada Bandau. Kami membawa beberapa helai pakaian kerana kami akan tinggal bersama babu untuk beberapa hari.
Setelah siap bersarapan, kami tiga beradek pun memulakan perjalanan menuju ke Tandek. Pada masa ini tiada kenderaan awam malahan basikal pun susah diperolehi. Sambil membimbit bakul yang penuh berisi mee goring, kueh jemput-jemput pisang, telur rebus, nasi putih dan ikan goring, air serta kopi O, kami berjalan santai mengikuti lorong pejalan kaki yang terjadi akibat bekas tapak-tapak kaki orang.
Jalan raya merupakan jalan yang terbuat daripada tanah yang penuh rumput kecuali laluan pejalan kaki yang licin tidak berumput kerana rumputnya mati dipijak orang. Disiring jalan pula ditumbuhi oleh pokok-pokok besar dan tinggi-tinggi. Ini membuat keadaan dijalan sentiasa redup walaupun hari telah mula meninggi di atas kepala.
Aku, Si L dan Si Din memilih satu pokok yang besarnya hampir tiga pemelok orang dewasa yang tumbuh ditepi jalan itu untuk berhenti berehat dan makan bekalan yang dibawa. Selesai makan kami berehat-rehat dibawah pokok itu sebelum meneruskan perjalanan.

Seperti lazimnya budak-budak, diperjalanan itu kami singgah bermain dan menyiut berudu dan anak-anak katak yang berenang-renang di dalam parit disiring jalan. Sepanjang perjalanan dari Bandau hinggalah kami tiba di perkarangan rumah babu kami di Tandek tidak sekali pun kami berjumpa walau seorangpun sama ada berjalan kaki atau menunggang kerbau. Ini menunjukkan betapa sunyinya keadaan kampung ketika itu. Menunggang kerbau pula adalah suatu cara pengangkutan yang popular pada masa itu. Kami tiba dirumah babu ketika hari telah senja. Sinar matahari yang berwarna perang keemasan kelihatan memancar dikaki langit. Burung-burung terbang di awan bertentuk V menuju kesarang.
Babu baru sampai dari sawah. Kain sarungnya basah dan berlumpur. Kami adek beradik sangat sayangkan babu kami ini kerana dia sangat memanjakan kami. Dengan girang babu menyuruh kami naik kerumah sementara dia pergi ke sungai berhampiran rumahnya untuk mandi. Peluang untuk mandi di sungai tidak kami lepaskan. Setelah menyimpan barang bawaan kami pun terus kesungai untuk sama-sama mandi dengan babu. Selang beberapa hari kami pulang semula ke Bandau dengan berjalan kaki juga.

Wednesday, February 11, 2009

Bandau 1962 - Pt. I

BANDAU - 1962
Pada awal tahun 1962 bapa telah ditukarkan pula ke GPS Bandau dari Semporna. Arahan daripada Pegawai Pelajaran itu hendaklah dilaksanakan dengan sertamerta. Emak pula baru melahirkan adek kami yang tidak cukup bulan dan telah meninggal dunia. Oleh sebab itu bapa pun meminta tempoh tetapi tidak dibenarkan oleh Pegawai tersebut. Semasa Pemerintahan British ini tiada siapa boleh menyoal. Segala arahan hendaklah dipatuhi tanpa sebarang soal atau alasan. Maka selepas seminggu emak keguguran, mereka pun telah bersedia untuk belayar dari Semporna menuju ke Bandau.

Apabila Cuti Akhir Tahun persekolahan (Waktu ini aku bersekolah di Holy Trinity School Tawau), aku pulang ke Bandau. Ku dapati rumah bapa di Bandau pada waktu itu hanyalah sebuah pondok buruk diperbuat daripada papan yang usang dan beratapkan daun nipah yang didirikan ditebing sungai. Di tepi sebelah kiri terdapat sebuah Surau dan di hadapan seberang jalan terdapat pula sederet kedai papan yang dibina bertiang. Selain itu terdapat juga sebuah Rumah Sakit, Pejabat Daerah dan sebuah Sekolah China.

Dirumah ini hanya terdapat sebuah bilek tidur, dapur dan ruang tamu. Ruang dapur terletak dibahagian belakang berhampiran sungai. Terdapat tangga diantara Ruang Tamu dengan Ruang Dapur kerana Ruang Dapur agak rendah sedikit daripada Ruang Tamu. Kami semua adek beradik dan seorang sepupu iaitu anak kepada kakak emak, yang tinggal bersama bapa tidur diruang tamu manakala adek kecil bersama emak dan bapa tidur di bilek yang satu itu. Bapa tinggal di rumah ini sementara menunggu rumah guru yang sedang dalam pembinaan siap. Walaupun keadaan rumah amat sederhana, kami sekeluarga bahagia tinggal dirumah ini. Kebetulan waktu itu Bulan Ramadhan. Aku dan adek-adek pun turut berpuasa. Sementara menunggu waktu berbuka kami bermain-main disekitar rumah. Kami pergi ke kedai sederet yang juga diperbuat daripada papan yang terletak tidak jauh daripada rumah kami.


Waktu sungkai pun tiba. Apa lagi aku dengan adek-adek ku sebaik saja Azan Magrib kedengaran daripada Surau yang berdekatan dengan kedai papan sederet itu, terus saja membaham makanan dan minuman yang disediakan oleh emak. Kami makan dan minum sepuas-puasnya dan akibatnya selesai saja sungkai, kami terbaring kesakitan perut. Emak pun berkata, ‘Itulah kalau makan jangan kalangkabut, pelan-pelan itu yang bikin sakit perut.’


Hari Raya di sambut dengan sederhana sahaja oleh keluarga kami. Tiada baju baru atau kasut baru atau langsir baru. Bapa pun tidak membuat biskut Raya, mungkin juga kerana keadaan rumah yang sempit itu tidak membolehkannya berbuat demikian. Yang ada hanyalah sedikit makanan yang disediakan oleh emak dan bermain lilin yang dinyalakan semasa malam takbir Hari Raya. Namun begitu, kami adek-beradek sangat gembira kerana dapat bermain bersama-sama. Bagi kami, baju baru atau kasut baru atau langsir baru bukan perkara penting. Yang penting kami bebas bermain adek beradek dan kawan-kawan. Begitu juga bagi kawan-kawan kami yang lain. Mereka juga tidak ambil pusing tentang pakaian atau perhiasan rumah. Mandi di sungai yang berhampiran, merayau-rayau dikebun buah-buahan dan bermain gasing atau melastik burung adalah lebih seronok bagi mereka.


Gasing mereka buat sendiri menggunakan kayu biabas atau dikenali juga sebagai jambu batu manakala talinya dibuat daripada kulit kayu ‘lamba’. Ranting kayu ‘ lamba’ (lumber?) sebesar lengan bayi akan dikupas kulitnya, kemudian diketuk untuk melembutkan dan mengasingkan kulit arinya. Setelah itu kulit yang telah diketuk menjadi lembut akan dipintal menjadi tali. Tali ini kami gunakan untuk memutarkan gasing. Kami suka main gasing pangkah. Kadangkala kami akan meletakkan paku di "pantat" gasing agar ia dapat memecahkan gasing lawan.

Thursday, February 5, 2009

Panaaaat - Penat

Ui penat betul aku hari ni. Pagi-pagi aku membasuh baju, lepas tu bawa faiz pigi hospital. Dari hospital pigi SEB bayar bil-bil. Lepas bayar bil-bil pigi Post Office di Damai - renew driving licence. Eh eh eh rupa-rupanya lesen memandu ku sudah expired bulan sembilan lagi tahun lalu, mak! nasib baik nda kena tahan polis tau kalau nda sia-sia aku kena denda.

Tadi pagi masa aku membasuh pakaian, dompetku terjatuh kedalam baldi yang penuh berisi air, nah kan - habis basah semua benda yang ada didalam dompet, duit, kad-kad (Name card kawan-kawan) he he he aku nda ada 'kredit kad'. Bila aku berenti kerja aku kasi pulang kad kredit majikan - buduh betul kan. Apa salahnya aku sambung saja bayar yurannya - tapi nda juga aku menyesal bah, nanti kalau ada kad aku belanja nanti nda tentu pasal, sudahlah nda ada kerja. Hey kawan, kalau ada kerja kosong, kasilah bah sama aku - janganlah yang berat-berat pula, angkat batu bata kah, turap jalan kah - itu nda payahlah. Kerja yang senang-senang, bikin kopi di pejabat kah - something like that he he he.

Hairan kamu kenapa dompet boleh terjatuh dalam baldi? Nah aku tu baru membeli 'gas' memasak, lepas bayar aku sisip dompetku di dalam baju. Bila aku membongkok mau membilas kain (baju yang pakai jalan2 aku nda basuh di mesin, takut rosak) cemplung, terjatuh dompet dalam baldi.

Semua benda dalam dompet yang basah tu aku jemur dengan meletakkannya di atas meja, meja komputer, sambil lagi tengok blog, he he he. Bila dd si faiz pulang dia nampak terus dia cakap, nah kenapa tu basah? Apa ko rasa Oren? - kureng asam betul. Dia pun tengok-tengoklah benda-benda yang tersadai di meja, tiba-tiba dia bilang ' ai ko punya lesen ni expired bah. Nasib baik ko nda di tahan polis. Nah, itulah aku kelangkabut renew tu lesen. Baru ramai lagi urang di Post Office Damai tu. Tapi aku sabar je tunggu giliranku. Nasib baik juga dd si faiz yang bawa kereta, tunggu aku, maklumlah nda ada 'parking'. Sudahlah aku rasa macam mau teken......cing. Ah tahan dulu. Cuba! kamu tengok lesen memandu kamu masih valid kah nda? Aik baru aku perasan salah tempat pula aku posting ni. Ah nda apa lah bah kan.

Wednesday, February 4, 2009

For u Ruby



Hi Ruby, This is Faiz getting his blood transfusion. Pls keep in touch.

Saturday, January 31, 2009

MAJLIS KENDURI KAHWIN

Pengantin Bajau - Sumber: Blog Mari Pajak (pinjam)

aKU baca blog, tentang kesukaan urang sekarang bekaraoke bila ada kenduri kahwin. "Biarin te asalkan nda bejudi'. Aik ngam kah itu YB? - Yang penting nda nyakitkan telinga. Kasi kurang je itu volume. He he he.


Baru-baru ni aku pigi kenduri kawin saudara laki ku. Ramainya sampai keluar-luar dewan. Satu budaya jomo sama yang aku tengoklah keluarga laki ku, kalu ada kawin kah, meninggal kah mereka masih lagi bergotong royong dan tolong menolong. Semua saudara mara datang berkumpul. "Mangan nyia mangan, asal kurung-kurung."

Mereka bukan saja menolong dengan tenaga, tapi juga dengan harta - sedikit huluran wang bagi yang mampu, ada juga yang bawa beras, gulai - apa2 sajalah.

Teringat pula aku masa aku keci-keci, peranah aku pigi urang kawin, kalu nda silap di Rasak Laut kali tu. Paling aku ingat pengantin perempuannya dikasi duduk dalam kelambu tujuh lapis.
Perempuannya dikasi mekap - ada pula di kasi titik-titik bedak sejuk kali tu di gigi rambut. Sekarang nda ada sudah urang bemekap begini. Nah kalu mau buka tu kelambu 'bekalang' lah iman/jurunikahnya. Kami pula, ramailah perawan-perawan (aku budak lagi) duduk dalam kelambu sama-sama pengantin perempuan. Mak andam suruh kami duduk atas kain kelambu yang terjuntai supaya susah mau buka. He he he kawin pun ada TOL macam jalanraya di KL.
Lepas tu ada 'berunsai' - urang menari bepigang-pigang tangan, tapi kalu perempuan bukan muhrim ada saputangan tempat bepigang. Berunsai ni sampai jauh malam - pengantin pun kena ikut sama 'berunsai'.
Pernah juga aku dengar lantai sampai roboh gara-gara hentakkan kuat semasa menari 'berunsai' . Berunsai ni kan menari bepusing-pusing sambil menyanyi dan hentak-hentak kaki. Laki ku bilang, buli kerasukan konon.
Tapi kalu di Semporna pula, nda 'berunsai' diaurang menari 'daling-daling'. Ada masa nanti aku kongsi pengalaman di Semporna.

Thursday, January 29, 2009

Cerita Memancing


Rumahku di KK pun kena banjir


Aku ni paling nda pandai memancing - tapi bila aku baca blog kaki-kaki pancing ni teringat aku masa aku kecil-kecil dulu ikut-ikut sama babu Rukina memancing disungai ditepi sawah di Tangkalanon.

Waktu tu orang kampung mitatabang (bergotong royong) mengetam padi. Tengaharinya orang berehat-rehat dibawah pokok-pokok ditepi satu anak sungai sambil makan 'linopot' (bekalan). Habis makan aku ikut si Babu memancing.

Sungai tu nda begitu lebar tapi dalam jugalah. Aku ni bising pula betanya itulah, inilah - tumpis (becok). (Waktu ini aku belum sekolah lagi). Last-last kepuasan kali si babu tu dia suruh aku diam, nda buli bising nanti ikan lari nda mau makan pancing, dia bilang - betul kah nda buli bising tu ah? Kesian ba nda da kami dapat ikan, koruk(betuk) pun nda dapat, pada hal di situ paling banyak koruk(betuk). Mangkali (mungkin) betul juga nda buli bising tau? atau mungkin juga ikan-ikan disitu kekenyangan sebab makan sisa-sisa bekalan yang dibuang ke sungai oleh orang-orang yang bergotong-royong tadi.

Kalu aku ingat yang ni pula geli hati ku sendirian. Waktu cuti sekolah akupun pulang ke Tandek sebab bapa waktu tu mengajar (Guru Besar) GPS Tandek. Aku sekolah menengah di Tawau. Ngam-ngam banjir pula. Rumah tempat kami tinggal ialah rumah yang dikebun dekat rumah Babu Rukina. aKU Tengok si L memancing dari jendela, sekejap-sekejap dia tarik pancingnya dapat ikan turongou. Apa lagi aku ni 'jelous' ikut juga memancing, alahai nda ada satu pun aku dapat ikan. Sebab nda mau kalah ni, aku curi ikan si L dalam baldi, kasi kait dimata pancingku terus aku umban (humban) dalam air (dari jendela juga).

"Naaahhh L aku dapat ikan" aku bilang konon, mekirayou. Si L pula anguk-anguk je macam nda ada apa apa. Boring. Sampai sekarang ni aku masih lagi nda pandai memancing.

Tapi , bapa pula mau hari-hari dia memancing di Sungai Tandek sama Rasak, sampailah satu hari dia balik dari pengkalan - dia bilang 'eeeh ada buaya'. Dia nampak tu buaya pelan-pelan menyusur dibawah pokok bambu. Barulah kurang-kurang dia memancing.

Monday, January 26, 2009

Tafsir Mimpi - Mimpi Mainan Tidur?




Emmmmmmmmm mimpi? Kamu pernah mimpi kah? Mimpi kamu ada warna kah atau 'black and white'. He he he bila aku baca post si Day Dreamers tentang Mimpi dan Psykologi, teringat pula aku masa kecil-kecil dulu semasa aku masih tinggal di Tandek.

Orang-orang kampung pada ketika itu percaya "mimpi" ada membawa sesuatu 'message' atau alamat. Kepercayaan mereka terhadap mimpi ini begitu unik - sehinggakan boleh dijadikan alasan untuk menolak pinangan sesaorang. Jika seorang gadis menolak pinangan seorang jejaka dengan memberikan alasan bahawa dia telah bermimpi yang kurang baik, maka alasan itu akan diterima tanpa sebarang soal. Semua pihak akan berpuas hati dengan alasan tadi dan tiada siapa akan merasa tersigung atau berkecil hati. Bagus kan ?

Aku pernah mimpi terbang, pernah mimpi jatuh - wow rasa macam betul tau? Last-last jatuh dari katil bah. Tapi ada juga petua orang tua-tua, konon kalau mimpi buruk, bila terjaga terus ludah ke kiri - pui pui pui. Buang sial konon. Tapi awas-awas, tengok dulu siapa yang tidur di kiri tu - nanti nda pasal-pasal teludah pula si kawan. Jangan lah meludah betul-betul bah, ambil syarat saja. Kalau tekan muka si kawan ludah - nah kan bikin begaduh bah itu.

Saturday, January 24, 2009

BANJIR LAGI


Government Primary School Tandek
Inilah sekolah dimana aku mula-mula belajar mengenali huruf abc dan alif ba ta.
Sebelum Perang Dunia meletus pada tahun 1942, bapaku telah ditugaskan untuk mengajar di sebuah kampung terpencil yang terletak di Residensi Pantai Barat, Borneo Utara. Nama kampung tersebut ialah Tandek. Bapa adalah guru yang kedua mengajar di kampung ini sejak sekolah ini mula ditubuhkan. Ketika di Tandek bapaku Kee Abdul Jalil telah bertemu dengan mamaku Ondiun @ Fatimah binti Unggut dan bernikah pada 18hb Jun 1946 di Tandek. Ondiun @ Fatimah dilahirkan pada 2hb November 1929 dan meninggal dunia pada 18hb September 1994.
Ada suatu ketika banjir telah melanda kampung Tandek. Air telah melimpah menjadikan kawasan padang, sekolah dan rumah kami dikelilingi air bah seakan-akan laut jadinya. Air tidaklah deras tetapi ia menetap dikawasan sekeliling sehingga hampir-hampir sebulan lamanya. Apabila air surut, maka padang dibelakang sekolah dipenuhi pasir yang berombak-ombak bentuknya seakan-akan padang pasir di gurun, tiada satu pun rumput yang kelihatan. Di dalam sekolah pula pasir juga telah menutupi lantai sekolah sehingga melebehi bukulali dalamnya.
Sedang kami bergotong-royong membersihkan sekolah, tiba-tiba seorang murid menjerit - rupa-rupanya seekor ular sawa sedang melingkar diatas rabung sekolah. Besar ular tersebut ialah semacam betis orang dewasa. Masaalah banjir dikampungku sudah menjadi lumrah. Walaubagaimanapun, mungkin dewasa ini sudah ada teknoloji yang dapat menangani masaalah banjir yang merosakkan harta benda.

Sunday, January 11, 2009

BERNIAGA

he he he - lain pula kali ni - cerita pasal beniaga

Bila aku baca blog si Akibaragon
, teringat pula aku waktu aku kecil dulu......Kami baru balik dari Kudat. Dari Kudat kami naik perahu entah perahu siapa tu si Soon Hock kah Si Ah Leong (bapa si Ah Siong). Tapi naik perahu lah. Sampai di Tandek kami terus pigi kedai si Aki Unggut. Waktu tu si Aki beniaga - yang aku ingat malam sudah ni tapi terang juga lah ada lampu pom.

Waktu tu ramai sangat urang - almaklum insolu. Orang dari merata tempat datang berkumpul di Tandek. (Kampung2 berdekatan saja bah). Insolu ni ialah malam minggu atau malam sebelum tamu (pasar tani). Orang-orang yang datang berkumpul ini adalah peniaga-peniaga kecil-kecilan. Lazimnya pada waktu itu orang-orang Dusun membawa buah-buahan dan sayur-sayuran untuk ditukar-ganti (barter trade) dengan ikan yang dibawa oleh orang-orang Bajau. Pada amnya orang-orang Bajau kebanyakannya menjadi nelayan dan tinggal dipinggir sungai dan pantai manakala orang-orang Dusun menjadi petani dan tinggal di pedalaman.

Banyaklah barang dagangan seperti buah-buah tarap, tampui, puka, belunu, longgom, langsat, wani, mangga dan banyak lagi lah. Sayur-sayur pun banyak seperti ubi manis, ubi kayu, batad, timun, bawang dan lain-lain ada juga menjual sigup dan jagung. Ikan pula ada yang segar dan ada juga yang kering tapi paling aku suka ikan kering dipanggil 'sinalau.' Sinalau ini ialah ikan yang dikeringkan tanpa dibubuh garam. Nelayan biasanya akan mengeringkan ikan-ikan ini semasa di laut lagi untuk mengelakkan ikan menjadi busuk disebabkan pada masa itu tiada 'ais batu'. Ada juga yang menjual kerabau, sapi dan ayam hidup-hidup tau!

Orang-orang ini, terutamanya yang datang dari tanah tinggi (bukit) akan tidur di kaki lima kedai atau dibahagian belakang kedai yang juga menjadi stor tempat menyimpan barang-barang dagangan. Ada juga yang duduk-duduk dibawah pokok dalam gelap - yang kenampakan hanyalah api sigup dan suara mereka berdengung-dengung macam penyangat.

Aku? seperti kebiasaan budak-budak, asyik berlari kesana kesini kerana terlalu seronok. Tiba-tiiiiiiba aku terlanggar orang sedang membawa air panas, apa lagi tumpah bah air panas tu kena leher ku. Aku pun terus menangis kesakitan. Tambah malang lagi, tempat kena tumpah air panas tu di sapu pula dengan garam, adui adui pedihnya. Nasib baik ndak juga melecur bah.

Waktu tu si Nenek(Aki) beniaga salang(damar) yang dibeli daripada urang kampung dan dijual balik pada peraih. Sambil-sambil juga si Nenek berniaga barangan runcit. Yang aku ingatlah banyak pekerjanya malam tu membungkus garam dalam daun yang serupa daun gabang tapi bukan gabang entah daun apa tu. Tapi paling aku suka gula-gula dalam toplis(balang kaca). Bila si Aki berhenti berniaga ni aku pun ndak ingat.

Monday, January 5, 2009

Liau - Darling Little Babes - Pt.7

He he he kamurang ingat lagi kah cerita sia (saya) kena ombak di Laut (dekat Pulau Banggi bah itu) Kita sambung lagi keio.

Air laut menyimbah kedalam bot, tiba-tiba aku terdengar perempuan-perempuan berteriak “buang!, buang! Apa kamu bawa tu? Buang” Seingatku, aku tertanya-tanya didalam hati, apakah yang dimaksudkan barang yang hendak dibuang itu. Dalam hati ku berbisik, “Wah! Habislah baju dan peralatan kami kali ini di buang” Ada juga dikalangan mereka bercakap-cakap mengenai ayam. Aku terdengar mereka berkata, “Masukkan di dalam ayam” “Apa pula yang mau di kasi masuk di dalam ayam ni?”

Dengan tiba-tiba juga angin kencang yang menyebabkan ombak besar terjadi membuat bot kami terumbang-ambing itu berhenti. Bagaimana ia datang dengan tiba-tiba tanpa amaran begitu juga dia berhenti. Seolah-olah ada orang memasang suis dan menutup suis.

PUGAI BALABAK
Pada masa ini orang kampong terlalu percayakan perbuatan ilmu guna-guna atau pugai. Pugai ini konon sangat mujarab terutama sekali Pugai Balabak. Sesiapa yang terkena akan terus jatuh hati kepada orang yang mengenakannya. Entahlah Wallahualambissawab. Aku telah bertanya tentang perkara pugai ini kepada kawan-kawan ku di sekolah dan hampir kesemua mereka percaya wujudnya pugai tetapi yang anehnya rata-rata tiada seorang pun diantara mereka yang pernah melihat bagaimana bentuknya pugai ini. Pada perhitungan mereka mendengar tentang ombak besar yang melanda bot kami itu sudah barang tentulah disebabkan ada diantara penumpang bot yang membawa bersama-sama pugai balabak. Kononnya pugai balabak ini tidak boleh dibawa menyeberang laut. Kalau hendak membawanya juga hendaklah dimasukkan kedalam perut ayam.

Kami meneruskan pelayaran ke Bandau dan sampai pada tengahhari dengan selamatnya. Hari itu ialah Tamu Besar Bandau dan kami akan membuat pertunjukan pada sebelah malamnya. Persembahan diadakan di padang di atas pentas yang didirikan khas di tepi padang. Emak telah menghias kami petang itu. Aku telah dimandikan dipakaikan baju baru dan diberi kalung yang diperbuat daripada kain hitam seperti choker dengan buah kalung emas berbentuk bulat leper. Sebenarnya rantai yang dibuat daripada kain hitam ini adalah tangkal. Kononnya tangkal ini akan mengelakkan ku daripada terkena perbuatan orang seperti kehilangan suara semasa menyanyi. Aku pun tidak tahu dimana sudah rantai leher ini, tetapi aku suka memakainya kerana ia memanglah kelihatan cantik dan bagi ku ia hanyalah satu perhiasan sahaja, almaklum aku masih tergolong dalam kategori kanak-kanak. Pada waktu itu aku tidak pun tahu bahawa rantai yang dibuat daripada kain hitam itu tangkal. Yang aku ingat aku disuruh menanggalkan rantai tersebut jika hendak masuk ke tandas.
Aku diberi minum air halia dan disuruh mengunyah bunga chengkeh, kononnya ini akan mengelakkan suaraku menjadi serak. Aku akan menyanyikan sebuah lagu berjudul “Seri Dewi Malam”.

Saturday, January 3, 2009

Liau - Darling Little Babes - Pt.6

Kamu terperasankah cerita aku banyak berkisar di sungai ?

Mari dengar cerita aku naik perahu dari Tandik ke Bandau. Kejadian ni berlaku sekitar Tahun 50an. (Antara tahun 54 - 58 )- tahun 1953 kami baru balik dari Menggatal, sebab Arwah bapa baru selesai berkursus di Maktab Perguruan Kent dan pada tahun 1959, kami berpindah ke Kalagan, sebuah kampung di daerah Sandakan yang sekarang ini sudah tiada, kerana telah dihanyutkan oleh air. Maktab Perguruan Kent, mulanya menumpang di bangunan 'Trade School" di Menggatal sementara menanti bangunannya di Tuaran siap.
Hari itu Tamu di Tandik. Bapa sudah siap menyediakan sebuah pentas bertiangkan bambu berlantaikan kepingan papan dan beratapkan nipah, ditengah padang bola ditepi sekolah. Tirai kanvas yang siap berlukis dengan pemandangan-pemandangan seperti laut, hutan dan sebagainya, hasil lukisan bapa menggunakan cat minyak juga sudah siap tergantung di pentas. Kami - aku dan beberapa orang murid bapa akan membuat pertunjukan pentas. Aku nda pula ingat kalau ada pementasan cereka rama yang aku ingat kami menyanyi dan menari di pentas.

Oleh kerana waktu itu tiada hiburan seperti tv atau wayang gambar, maka pementasan kami mendapat sambutan hangat dari orang kampung. Aku pun terperasan lah juga konon bah pandai menyanyi he he he. Selang beberapa hari, kami (rombongan bangsawan konon) pergi ke Bandau. Waktu ini tiada kenderaan selain daripada kerbau dan kuda yang dapat mengangkut alat-alat pementasan kami. Kami pun naik perahu dari pengkalan Tandik. Perahu adalah keandaraan yang paling popular dan satu-satunya cara pengangkutan paling sesuai pada masa itu.
Awal-awal lagi kami semua termasuk mama, babu Obung dan ramai lagilah saudara mara kumpulan kami sudah berada di Pengkalan Tandik (dekat jambatan yang sekarang ni) kerana hendak menaiki perahu untuk pergi ke Bandau. Kami akan menyertai pertunjukan pentas di Bandau sempena Tamu Besar Bandau. Perahu pun mulai bergerak perlahan-lahan menyusuri Sungai Tandik. Aku melihat rumah orang kampung ditepi sungai, pokok-pokok tangkol yang tinggi, pokok bakau dan pokok nipah. Air sungai Tandik dulu dalam bukan seperti sekarang.
Aku nampak orang berdayung sampan dicelah pokok nipah. Sampannya sarat dengan daun nipah yang siap di ikat. Daun nipah ini nanti akan dianyam dijadikan atap. Orang-orang Bajau yang tinggal di pesisir sungai selain menjadi nelayan juga menjahit atap dan membuat kirai untuk dijual atau digunakan untuk bertukar barang (Barter Trade) apabila tamu Tandik nanti.
Akhirnya kami tiba di muara sungai menuju kelaut lepas. Sebelum tiba di muara sungai Bandau kami terpaksa belayar di laut lepas. Berhampiran muara sungai aku melihat obor-obor tergenang-genang di permukaan laut. Di kejauhan aku melihat sekawan ikan lumba-lumba berenang seakan-akan mengiringi perahu kami. Aku dengan girangnya menarik perhatian mama kepada kumpulan ikan lumba-lumba itu. Mama pula meminta aku diam kerana konon pantang menegur apa-apa benda di tengah laut.
TIBA-Tiba angin kencang bertiup dan ombak besar pun melanda perahu kami diikuti dengan hujan yang renyei-renyei. Hadapan perahu entah dengan kuasa apa, terjungkat kelangit dan dengan keras menghempas permukaan laut, air laut tersimbah kedalam perahu. Wah duh waktu itu rasa-rasanya perahu kami akan tenggelam, sekejap miring ke kanan dan kekiri di ikuti hempasan yang kuat. Perempuan-perempuan berteriak-teriak dan kanak-kanak bertangisan. Aku mendengar orang berteriak "BUANG! BUANG! BUANG KAMU". Nah kan habislah barang-barang kami kali ini dibuang fikirku didalam hati.
Nanti kita sambung lagi ya! si Yus bilang kasi suspen.