Tuesday, March 31, 2009

BELIAJUNG ESTATE PT.2

Ini cerita pasal aku pigi Beliajung - laaaamaaa dulu waktu aku masih sekolah rendah di Tandek.
Aku pun nda ingat siapa-siap yang pigi tapi ramai jugalah - satu rombongan. Yang pasti mama sama bapa ada - bapa Ketua rombongan. Pagi-pagi sampai di Beliajung ada sukan. Sukan rakyat - lumba lari 100 ela, 200 ela, lari dalam karung, lari bawa telur dalam senduk, lari sambil cucuk benang pada jarum dan macam-macam sukan padang. Tapi paling paling paling aku ingat - he he he aku ikut sukan pancing botol. Apa? kamu nda pernah dengar - sukan pancing botol?

Benang diikat pada penghujung ranting kayu. Kemudian dihujung benang diikat pula dengan paku sebagai ganti mata kail. Sambil memegang ranting yang diikat benang tu kira 70 ela dari botol-botol leminit yang disusun bejijir kami sebaris berlari menuju botol-botol tadi lalu cuba memasukkan mata kail (paku) kedalam botol.

Waktu kami cuba memancing botol tu penonton-penonton pun memberi sorakan menyokong peserta kegemaran masing-masing. Adalah satu orang ni dia mau sangat pesertanya menang. Dia pun bilang boleh gulung benang tu di jaoran (ranting kayu) - mungkin dia ni pegawai sukan berkenaan. Ini menyenangkan memasukkan paku tadi kedalam mulut botol yang kecil tu sebab bila benang tu pendek, tidaklah paku tadi bergerak kuat sangat.

Apa lagi 'undang-undang' permainan sudah diubah - boleh gulung benang dijaoran asal tidak menyentuh mata kail dengan tangan, maka aku pun pusing-pusing kayu 'jaoran' aku sehingga paku mata kail ku terlekat dikayu jaoran. Lalu dengan senang aku memasukkannya kedalam mulut botol dan perlahan-perlahan memusingkan kayu jaoran arah bertentangan sehingga benang terjuntai. Aku tarik dan tergantunglah botol tadi dipenghujung tali benang. Aku pun berlari menuju ke garis penamat. Akulah orang pertama sampai digaris penamat. Malangnya aku 'disqualified' tetapi aku bilang nda patut sebab tadi di padang diaorang bilang boleh gulung tali pancing dikayu jaoran, asalkan tidak disentuh dengan tangan. Aku mana ada sentuh mata kail dengan tangan.

Acara tidak terhenti disitu. Malamnya ada pula pertunjukan pentas. Nyanyian dan tarian dipersembahkan oleh wakil dari rombongan kami dan dibalas oleh wakil 'tuan rumah' Beliajung.
Ramailah orang dalam Dewan malam tu menonton persembahan dari kami dan juga dari Beliajung. Yang melekat diingatanku sehingga kini ialah nyanyian oleh seorang gadis remaja yang cantik bagai artis Hindustan - Cik Jamnah. Dia menyanyikan lagu bertajuk "Hitam Manis" - ".......... Hitaaaam maaaanis, hitam manis, yang hitam manis, pandang tak jeeeemu, paaandang tak jemu, yang hitam manis.........". Bersorakan penonton dididalam Dewan terutama sang teruna-teruna, teruja dengan persembahan si-cantek manis yang berkulit 'hitam manis'. Beliajung oh Beliajung hanya tinggal dalam kenangan.

Monday, March 16, 2009

LANGKON ESTATE

Gambar bapa berkot warna gelap dan seluar juga berwarna gelap bersama seorang teman waktu menjalani latihan di Australia pada tahun 1966/67

Pada Hari Ahad yang lalu (16 Mac 2009) aku berkesempatan berjumpa salah seorang bekas murid bapa di satu Majlis Kenduri Kahwin kaum kerabat suamiku di Papar. Namanya Mento bin Hassan berasal daripada Langkon. Menurut ceritanya dia mula-mula bersekolah di Bandau dan setelah tamat Darjah VI dia menjadi guru. Pada tahun 1973 dia dihantar pula ke SK Tandek sebagai guru penolong dan alangkah terkejut dan gembiranya dia kerana mendapati pada waktu itu Guru Besar SK Tandek ialah bekas gurunya di Bandau dahulu iaitu bapaku (Allahyarham Hj. Abd. Jalil). Katanya dia sungguh berterima kasih kepada guru-gurunya dan selalu mendoakan mereka setiap kali lepas Sembahyang, kerana katanya tanpa mereka dia tidak mungkin jadi seperti sekarang.

Katanya lagi, dulu (SEBELUM MERDEKA atau Zaman Beritis kata orang kampung) mereka ini tinggal di Tambun, dan ibubapanya kemudian menetap di Langkon dan bekerja di Langkon Estate, sebagai penoreh getah. Tetapi yang menarik perhatianku ialah apabila dia menyatakan bahawa dulu pekerja ladang yang bekerja membersihkan kawasan sekeliling pokok getah diberi upah 45 sen bagi setiap satu pokok getah yang dibersihkan, kemudian diturunkan kepada 40 sen bagi satu pokok.

Sekarang ladang getah ini sudah tiada dan digantikan pula dengan tanaman kelapa sawit. Orang kampung yang dulunya bekerja di ladang getah, bekerja pula di ladang sawit. Tetapi yang menyedihkan, ialah menurut Saudara Mento, pekerja yang membersihkan kawasan sekeliling pokok sawit diberi upah 5 sen bagi setiap satu pokok sawit yang dibersihkan. Cuba bayangkan untuk mendapatkan RM5.00 sehari sesaorang itu terpaksa membersihkan 100 pokok sawit. Dengan kos barang yang mahal berapa sangatlah RM5.00 itu. Walaubagaimanapun keadaan mereka ini seakan-akan tersepit dan tiada pilihan.

Aku bertanya lagi sama ada pekerja ladang getah dahulu itu diberikan tanah tempat mereka bercucuk tanam. Menurutnya mereka diberikan satu kawasan ditepi sungai sebagai tempat mereka berkampung. Aku lupa sudah nama kampung yang dia sebut tu sebab aku ni nda biasa bah pigi kampung di Langkon tu, cuma limpas saja bila mau pulang kampungku di Tandek. Oleh kerana dia ni juga seorang penulis/wartawan pada suatu ketika dahulu, akupun menyuruhnya menulis mengenai penempatan di Langkon ini. Beliau ini pun sudah bersara. Beginilah nasib orang-orang kita.