Saturday, January 3, 2009

Liau - Darling Little Babes - Pt.6

Kamu terperasankah cerita aku banyak berkisar di sungai ?

Mari dengar cerita aku naik perahu dari Tandik ke Bandau. Kejadian ni berlaku sekitar Tahun 50an. (Antara tahun 54 - 58 )- tahun 1953 kami baru balik dari Menggatal, sebab Arwah bapa baru selesai berkursus di Maktab Perguruan Kent dan pada tahun 1959, kami berpindah ke Kalagan, sebuah kampung di daerah Sandakan yang sekarang ini sudah tiada, kerana telah dihanyutkan oleh air. Maktab Perguruan Kent, mulanya menumpang di bangunan 'Trade School" di Menggatal sementara menanti bangunannya di Tuaran siap.
Hari itu Tamu di Tandik. Bapa sudah siap menyediakan sebuah pentas bertiangkan bambu berlantaikan kepingan papan dan beratapkan nipah, ditengah padang bola ditepi sekolah. Tirai kanvas yang siap berlukis dengan pemandangan-pemandangan seperti laut, hutan dan sebagainya, hasil lukisan bapa menggunakan cat minyak juga sudah siap tergantung di pentas. Kami - aku dan beberapa orang murid bapa akan membuat pertunjukan pentas. Aku nda pula ingat kalau ada pementasan cereka rama yang aku ingat kami menyanyi dan menari di pentas.

Oleh kerana waktu itu tiada hiburan seperti tv atau wayang gambar, maka pementasan kami mendapat sambutan hangat dari orang kampung. Aku pun terperasan lah juga konon bah pandai menyanyi he he he. Selang beberapa hari, kami (rombongan bangsawan konon) pergi ke Bandau. Waktu ini tiada kenderaan selain daripada kerbau dan kuda yang dapat mengangkut alat-alat pementasan kami. Kami pun naik perahu dari pengkalan Tandik. Perahu adalah keandaraan yang paling popular dan satu-satunya cara pengangkutan paling sesuai pada masa itu.
Awal-awal lagi kami semua termasuk mama, babu Obung dan ramai lagilah saudara mara kumpulan kami sudah berada di Pengkalan Tandik (dekat jambatan yang sekarang ni) kerana hendak menaiki perahu untuk pergi ke Bandau. Kami akan menyertai pertunjukan pentas di Bandau sempena Tamu Besar Bandau. Perahu pun mulai bergerak perlahan-lahan menyusuri Sungai Tandik. Aku melihat rumah orang kampung ditepi sungai, pokok-pokok tangkol yang tinggi, pokok bakau dan pokok nipah. Air sungai Tandik dulu dalam bukan seperti sekarang.
Aku nampak orang berdayung sampan dicelah pokok nipah. Sampannya sarat dengan daun nipah yang siap di ikat. Daun nipah ini nanti akan dianyam dijadikan atap. Orang-orang Bajau yang tinggal di pesisir sungai selain menjadi nelayan juga menjahit atap dan membuat kirai untuk dijual atau digunakan untuk bertukar barang (Barter Trade) apabila tamu Tandik nanti.
Akhirnya kami tiba di muara sungai menuju kelaut lepas. Sebelum tiba di muara sungai Bandau kami terpaksa belayar di laut lepas. Berhampiran muara sungai aku melihat obor-obor tergenang-genang di permukaan laut. Di kejauhan aku melihat sekawan ikan lumba-lumba berenang seakan-akan mengiringi perahu kami. Aku dengan girangnya menarik perhatian mama kepada kumpulan ikan lumba-lumba itu. Mama pula meminta aku diam kerana konon pantang menegur apa-apa benda di tengah laut.
TIBA-Tiba angin kencang bertiup dan ombak besar pun melanda perahu kami diikuti dengan hujan yang renyei-renyei. Hadapan perahu entah dengan kuasa apa, terjungkat kelangit dan dengan keras menghempas permukaan laut, air laut tersimbah kedalam perahu. Wah duh waktu itu rasa-rasanya perahu kami akan tenggelam, sekejap miring ke kanan dan kekiri di ikuti hempasan yang kuat. Perempuan-perempuan berteriak-teriak dan kanak-kanak bertangisan. Aku mendengar orang berteriak "BUANG! BUANG! BUANG KAMU". Nah kan habislah barang-barang kami kali ini dibuang fikirku didalam hati.
Nanti kita sambung lagi ya! si Yus bilang kasi suspen.

3 comments:

  1. wuik... mimang kin saspen ni. apa inda, buang buang buang? hehhee..

    ReplyDelete
  2. Sambungan ? Ikuti Liau - Darling Little Babes Pt. 7, he he he - tapi ini butul -butul tau bukan 'cobaan'.

    ReplyDelete
  3. ee? di sungai ada ikan lumba2 ka? setau saya ada di laut seja... bukan antu air ka tu?

    ReplyDelete